Thursday, July 2, 2009

Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama


Langkah pertama anda

Sehari selembar benang, Lama-lama menjadi kain. Berkat usaha sedikit demi sedikit tenaga dan fikiran yang dicurahkan dengan cara dan keyakinan yang betul, insyaallah akan membuahkan hasil. Perniagaan bukan sesuatu yang mudah untuk diuruskan, akan tetapi bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mengecapi kejayaan daripadanya. Ianya sering dikaitkan dengan lambang kekayaan seseorang yang menceburinya. Namun tidak kurang yang kecundang kerananya. Blog ini akan membincangkan bagaimana sesuatu perniagaan itu boleh dimajukan dan terus berkembang menjadi suatu yang memberi manfaat bukan sekadar manfaat kewangan, tetapi juga manfaat sejagat.

Sebagai permulaan saya ingin mengucapkan terima kasih serta tahniah kepada anda yang sudi melayari laman blog saya yang tidak seberapa ini. Tujuan saya membuat blog ini adalah untuk berkongsi idea dan juga pengalaman dalam bidang perniagaan. Sebagaimana yang kita telah sedari bidang perniagaan menjana 9/10 daripada pendapatan. Atas fakta ini, ramai diantara kita yang berebut-rebut terjun dalam bidang ini. Tanpa asas yang kukuh, tanpa ilmu yang mendalam dan juga tiada pengalaman yang cukup. Akhirnya, mana-mana yang menghadapi kegagalan, tidak mampu lagi untuk bangkit semula melawan cabaran yang begitu getir ini.

Namun, ironinya, ramai diantara yang berjaya juga melalui proses yang sama. Mereka juga tiada asas yang kukuh, kurang ilmu apatah lagi pengalaman. Tetapi pada ketika ramai yang kecundang, mereka bangkit dan meneruskan usaha mengecapi nikmat setelah penat menghadapi cabaran yang panjang. Mereka berjaya bergelar jutawan, walaupun hanya dengan permulaan menjual kuih di tepi jalan.

Di mana silapnya semua ini? Tidak perlu kita menuding jari kepada sesiapa. Apa yang perlu kita selidiki adalah tindakan yang selama ini telah kita lakukan untuk menuju kearah kejaayaan. Namun sebelum itu, kepada yang gagal sebelum ini, pernahkah kita menyemak semula niat kita dalam menceburi bidang perniagaan. Adakah kita mahu semata-mata menjadi kaya, sehinggakan kita sanggup untuk perbuat anyia kepada insan lain? Atau mungkin duit sahaja yang menjadi tujukan kita. Niat asal penting kerana itu akan menjadi sebab dan juga aliran kemana seluruh fikiran dan tenaga kita akan dihabiskan. Maka keputusannya juga bergantung kepada niat itu tadi.

Banyak perkara yang perlu dilihat, namun secara asasnya perniagaan perlu berlandaskan kepada minat yang mendalam dan juga keazaman yang jitu. Ini kerana, pada pendapat saya yang lemah ini, perniagaan adalah salah satu kaedah untuk menjana pendapatan. Apa yang diniagakan itulah sebenarnya yang kita perlu ada minat didalamnya. Supaya dengan minat itu, keazaman akan terbentuk sekaligus melenyapkan erti putus asa dalam diri kerana ingin melihat kejayaan dalan apa yang diniagakan itu.

Contoh yang mudah adalah apabila kita melihat Hendry Ford, antara manusia pertama menjadi Bilionire. Beliau bukan menjual kereta untuk semata-mata menjadi kaya. Apa yang beliau fikirkan adalah bagaimana setiap daripada rakyat dapat memiliki kenderaan sendiri. Ini kerana pada ketika itu hanya golongan yang berada saja yang mampu memiliki kenderaan. Maka beliau memikirkan untuk membina sebuah model kereta yang hanya memakan kos yang murah, dan ianya dapat dijual pada harga yang berpatutan dan mampu milik oleh rakyat jelata.

Begitu juga Warrent Buffet yang pernah memberi idea dalam musyarat agong tahunan syarikat coka-cola. Beliau mencadangkan agar dibuat "vendor Mechine" atau mesin menjual automatik, kerana beliau memikirkan bagaimana orang ramai dapat membeli air tin coka-cola pada setiap masa tidak kira siang atau malam. Maka setelah cadangan ini dibuat, saham coka-cola telah melonjak naik, dan ini juga menyebabkan beliau menjadi antara orang terkaya di dunia.

Kesimpulan kepada apa yang ingin saya sampaikan ini adalah anda perlu mencari ketenangan. Tarik nafas seketika, lihat didalam hati, apa sebenarnya yang anda ingin lakukan dalam dunia ini? Usah fikirkan tentang wang yang berjuta, beban hutang keliling pinggang atau masalah kewangan yang lain. Ini semua akan membantutkan lagi usaha anda untuk mengecapi kejayaan. Fikirkan yang positif, apakah perkara yang anda benar-benar minat melakukannya, dalam ertikata apa pun yang terjadi anda tetap dengan perkara yang anda minat itu. Maka itulah yang sepatutnya anda memberi tumpuan dan sebagai tindakan terakhirnya jadikan ia sebagai perniagaan, sumber pendapatan anda.

Saya beri anda contoh yang paling mudah. Sekiranya anda pernah membaca buku Menjejaki Jutawan Senyap karangan Dr.Rusly B.Abdullah http://www.mph.com.my/search/nsearch.cfm?do=detail&pcode=9832334608 Di dalamnya Dr. Rusly ada menyatakan bahawa minat sebenar beliau ingin mengajar atau dalam ertikata lain ingin menjadi cikgu. Namun beliau tidak berpeluang untuk menjadi cikgu di sekolah. Lalu seorang ustaz dari Indonesia menasihati beliau agar menjadikan minat beliau sebagi salah satu sumber pendapatan. Kerana itu beliau telah mendirikan Institut Kulinari, yang mengajar orang ramai tentang cara-cara penyediaan makanan. Maka Institut itu telah berkembang daripada sehari demi sehari dan telah melahirkan ramai usahawan yang menjual hasil daripada masakan yang telah diajar oleh institut tersebut.

Dr. Rusly telah menjadikan minat beliau sebagai perniagaan. Perkara ini juga yang seharusnya anda fikirkan. Jangan kerana melihat si fulan itu menjual Nasi Kukus Ayam Dara mendapat sambutan anda terus tergopoh-gapah ingin turut serta dalam menjual menu yang sama. Akhirnya apabila melihat jualan anda merosot sedangkan si fulan terus maju dengan perniagaannya, menyebabkan anda berasa iri hati sehinggkan ada yang sanggup dengki mendengki antara satu sama lain.

Anda tidak perlu risau, buka minda, kerana di luar sana masih terlalu banyak peluang perniagaan dan masih belum terlambat untuk anda menjadi jutawan.

Oleh yang demikian perkara pertama yang anda boleh lakukan adalah mengambil sedikit masa untuk berfikir apa yang sebenarnya anda minat. Perkara minat ini ada banyak, namun suka saya ingatkan disini, ianya bukanlah perkara rutin seperti tidur atau makan. Ianya sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat seperti bertani, membaca atau membuat gubahan bunga. Ada bermacam lagi perkara yang pastinya menjadi minat anda. Selamat mencuba....

No comments: